Tentang Kami

Mesej daripada Pengarah Urusan

Dr. Hasuria Che Omar

Berpengalaman hampir 30 tahun melatih bakal penterjemah, dan lulusan dalam bidang penterjemahan dalam pendidikan tinggi. Hasuria meneruskan tugasnya sebagai penterjemah profesional sepenuh masa selepas menamatkan perkhidmatan akademiknya di institusi pengajian tinggi. Melalui kepakarannya dalam bidang pengajian penterjemahan, penilaian terjemahan, pelatihan penterjemah serta media dan penterjemahan, beliau bersama-sama pasukannya dalam Zill Resources Sdn Bhd bersedia memberikan khidmat praktik secara profesional untuk industri terjemahan.

Pasukan Kami

Pasukan kami terdiri daripada penterjemah profesional yang terlatih dan berpengalaman serta memahami dengan jelas keperluan industri. Berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai atribut profesional merupakan pegangan pasukan penterjemah kami. Sama ada menghasilkan terjemahan ke dalam (terjemahan daripada bahasa kedua/bahasa asing kepada bahasa ibunda) atau ke luar (terjemahan daripada bahasa ibunda penterjemah kepada bahasa kedua atau bahasa-bahasa lain, penterjemah kami yang dinamik akan sentiasa memastikan khidmat yang dihasilkan berkualiti tinggi.

Penterjemah kami semuanya berdaftar sebagai ahli Persatuan Penterjemah Malaysia, dan proses pengambilan penterjemah dalam syarikat ini adalah berasaskan kriteria yang sangat ketat. Mereka terdiri daripada lulusan Ijazah yang berkaitan dan sekurang-kurangnya mempunyai lima tahun pengalaman menterjemah. Di samping kemahiran bahasa, penterjemah profesional kami juga berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing. Kami sentiasa mengalu-alukan penyertaan penterjemah baharu yang berbakat dan suka akan kerja penterjemahan dan kejurubahasaan. Kami sentiasa berusaha untuk mengembangkan pasukan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Prinsip Kami

Misi kami adalah untuk menjadi penyedia khidmat bahasa yang profesional dan perantara yang dipercayai dalam industri tempatan dan antarabangsa. Kesemua prinsip ini dipegang untuk memastikan hasil terjemahan yang dihasilkan adalah tepat, praktis dan berkualiti tinggi, dan pelaksanaan kerja adalah secara profesional.

Perkhidmatan kami berasaskan pada prinsip:

Tepat & Pantas

Kami akan memastikan semua terjemahan yang dihasilkan memenuhi tahap kesepadanan dengan sumber asal dan norma penghasilannya dalam bahasa sasaran.  Kesepadanan ini perlu sesuai dengan konteks, sama ada dari sudut linguistik, atau boleh berubah mengikut maklumat asal. Tahap ketepatan ini juga merujuk sama ada terjemahan yang dihasilkan memadai atau boleh diterima selaras dengan tujuan komunikasi.

Kami juga akan menyiapkan tugasan dalam tempoh yang paling pantas, bergantung kepada jenis, bidang dan volum bahan yang ditangani.  Alatan teknologi dan aplikasi perisian yang berkaitan akan digunakan untuk memastikan terjemahan yang dihasilkan pantas dan berkualiti tinggi.

Boleh Dipercayai

Kami percaya dengan kebolehan menyediakan terjemahan yang berkualiti tinggi, tepat, mematuhi tempoh masa dan praktis serta memenuhi jangkaan, menjadikan kami perantara atau penyedia khidmat yang terbaik untuk keperluan anda.

Menjaga Kerahsiaan

Semua bahan yang diterima untuk tugasan akan dijaga kerahsiaannya melalui perjanjian yang ditangani oleh penyedia perkhidmatan dan pelanggan.  Prinsip dan etika kerja yang profesional menjadi panduan pasukan kami.

Harga yang Kompetitif

Harga yang ditawarkan adalah kompetitif, sesuai dengan bidang teks, tujuan penghasilan dan tempoh kerja yang diperuntukkan.

Cekap & Profesional

Penterjemah kami adalah cekap, terlatih dan berpengetahuan tinggi dalam memenuhi permintaan anda. Parameter penyemakan diaplikasi sebaik mungkin untuk memastikan anda memperoleh terjemahan yang berkualiti tinggi sesuai dengan keperluan anda. Atribut profesional merupakan pegangan kami yang menandakan bahawa syarikat kami berwibawa dan boleh dipercayai.

Pasangan Bahasa

Pasangan bahasa yang ditawarkan melibatkan terjemahan ke dalam bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun, Arab, Tamil dan lain-lain. Penterjemahan yang ditawarkan turut melibatkan dialek (terjemahan intralingual).