Interpretasi
Kami turut menawarkan khidmat jurubahasa untuk jenis-jenis interpretasi berikut.
1. Interpretasi Serentak
Interpretasi jenis ini merupakan perantara yang membolehkan komunikasi antara dua pihak yang berlainan bahasa berlaku. Interpretasi dilakukan secara langsung dan spontan. Jurubahasa akan berada dalam konteks yang sama dengan penutur dan menghasilkan interpretasi dalam tekanan masa yang mengehadkan atau langsung tidak membolehkan pembetulan atau penyemakan dilakukan. Kami menawarkan khidmat jurubahasa serentak atau jurubahasa persidangan yang dapat memenuhi keperluan anda.
Jurubahasa akan dikenal pasti daripada rangkaian jurubahasa
terlatih untuk memenuhi keperluan anda.
2. Interpretasi Berturutan
Kami menawarkan khidmat jurubahasa berturutan untuk perbincangan, mesyuarat atau majlis kecil yang dihadiri sebilangan peserta. Interpretasi ini tidak memerlukan peralatan yang khusus, dan dapat disesuaikan dalam pelbagai situasi yang seperti interpretasi diplomatik, dwisisi (bilateral), lawatan perniagaan, lawatan pelancongan, resepsi, majlis pelantikan, pelancaran produk, perbincangan meja bulat, lawatan insentif,
majlis bankuet dan lain-lain.
Jurubahasa berturutan hanya perlu mendengar mesej dalam bahasa sumber dan menyampaikannya ke dalam bahasa sasaran sebaik sahaja mesej selesai diujarkan. Jurubahasa hanya akan memerlukan pen dan menggunakan penulisan nota dalam tugasan ini.
3. Interpretasi Komuniti/Khidmat Awam
Interpretasi jenis ini dilakukan dalam konteks khidmat awam yang melibatkan pihak berkuasa seperti jabatan imigresen, polis, agensi pendidikan dan khidmat kesihatan. Khidmat jurubahasa ini diperlukan sekiranya terdapat pengguna perkhidmatan yang tidak boleh bertutur bahasa majoriti negara tertentu.
Contoh: interpretasi mahkamah, kesihatan/perubatan, perundangan, polis, suaka, pendidikan, perniagaan, keagamaan dan pelancongan.
4. Interpretasi Media
Interpretasi ini dikenali sebagai interpretasi televisyen, yang akan memastikan kandungan siaran media dalam bahasa asing difahami oleh pengguna media dalam sesuatu masyarakat, termasuklah penggunaan bahasa isyarat bagi membantu penonton pekak dan kurang pendengaran.
5. Penyuaraan
Penyuaraan biasanya diperlukan khusus untuk buku audio (buku elektronik bersuara), ataupun juga ulasan bebas untuk sesuatu program atau rakaman yang dihasilkan.
Perkhidmatan penyuaraan ini muncul seiring dengan penggunaan media baharu yang membolehkan aktiviti pertuturan disesuaikan dengan aktiviti pendengaran, khususnya dalam penghasilan buku audio yang dapat didengar menerusi audio yang disediakan. Sasaran audiens merangkumi pendengar biasa (untuk tujuan umum), untuk tujuan pendidikan, atau untuk keperluan mereka yang mempunyai masalah penglihatan, masalah pembelajaran dan disleksia.
Dalam konteks ini, penulisan boleh diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran, kemudiannya dimasukkan suara, untuk keperluan-keperluan yang dikenal pasti lebih awal.
6. Transkripsi
Kami turut menawarkan khidmat transkripsi dalam satu bahasa seperti rakaman video dan podcast, pengucapan yang tidak berskrip atau rakaman yang berkaitan dengan hal-ehwal perundangan (testimoni saksi, angkat sumpah dan lain-lain) ke dalam teks bertulis yang mudah difahami.